PENDEKATAN GOLONGAN ORIENTALIS


1.0        PENDAHULUAN
Golongan Orientalis telah merencana pelbagai dakyah dan propaganda dan ia dirancang dan dikaji untuk melenyapkan dan menghancurkan Islam dan pengikutnya. Pada zaman Rasulullah s.a.w sendiri bangsa Yahudi dan kafir Quraisy melakukan pelbagai tipu daya dan helah serta muslihat untuk memecah belah kan pengaruh Islam. Justeru itu ayat yang Allah turunkan ini bersesuaian dengan misi dan visi golongan yang seringkali melakukan pelbagai perancangan untuk menjayakan hasrat mereka.
       
       “ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada mu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada mu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.”                                                            
                                                                                                                     (Al-Baqarah:1:120 )

            Orientalis menurut Indriaty, 1998 ; 2 dalam  Mohd  Fauzi Hamad, 2010: 168, sesiapa sahaja yang memberi pengajaran, menulis dan mengkaji mengenai Timur; tidak kira sama ada ia seorang ahli antropologi, sosiologi, ahli sejarah, filologi dan lain-lain digelar Orientalis dan hasilan daripada aktiviti –aktiviti mereka disebut sebagai Orientalisme.
         
Menurut Kamus Dewan, ( 4th ed ), ( 2007), Kuala Lumpur menjelaskan Orientalis ialah pakar dalam bahasa, kebudayaan dan lain-lain bangsa timur.

 Orientalis bukan sekadar belajar Islam daripada jauh, tetapi mereka mendalami ilmu-ilmu Islam dengan mendalam, dengan teliti dan tekun. Sekali pun mereka orang Amerika yang tidak Islam, mereka mahir bahasa Arab,  ilmu nahu dan saraf,  ilmu fiqah, tauhid, tafsir, sirah dan lain-lain lagi. Untuk mencapai sesuatu hasrat dan tekad untuk menguasai dunia Islam, maka secara tidak langsung  perlulah menguasai cabang ilmu yang ada di dalam Islam itu sendiri. Justeru itu, golongan Orientalis telah mengambil langkah untuk menguasai bahasa Arab dan sekali gus menguasai pelbagai khazanah  ilmu yang telah di cetuskan oleh Golongan ilmuwan Islam sejak berabad lamanya.
2.0        PENDEKATAN ORIENTALIS
Menurut Zaharuddin Ab. Rahman, 2008, sebahagian besar mereka adalah dalam kumpulan pertama dan kedua. Mereka dilihat sangat aktif memainkan peranan meracuni pemikiran umat Islam agar tidak kuat berpegang kepada ajaran Islam, jika pun tidak meninggalkannya terus tetapi jati diri umat Islam akan tergugat secara tidak langsung. Pelbagai cara dan pendekatan di lakukan oleh pihak Orientalis untuk merealisasikan cita-cita mereka, antara pendekatannya ialah :



2.1       Memutar belit sejarah dan tamadun Islam

Golongan Orientalis telah menggunakan wadah penulisan dan melakukan pelbagai kajian dalam mengungkap pelbagai kisah yang digarap kan di dalam buku-buku karya mereka dengan  pelbagai fakta yang menyeleweng dan diguna pakai oleh golongan penulis Islam sendiri. Begitu banyak fakta dan maklumat berkaitan dengan sirah hidup Nabi Muhammad  serta tokoh  ulung sejarawan Islam dan  juga sejarah dunia Islam yang lainnya telah diberikan fakta yang salah dan menyeleweng dengan  hakikat peristiwa sebenar yang terjadi. Sesetengah fakta itu diputar belit kan dan diselitkan  kisah-kisah  khayalan dan mitos sehingga sukar untuk dikenali antara baik dan buruk dan yang mana benar dan salah sesebuah peristiwa tersebut.  Para orientalis ini menafikan sekeras-kerasnya sejarah penyebaran Islam dilakukan dengan cara paling lunak dan amat diplomasi  sebaliknya  mereka menyebarkan dakyah bahawa ajaran Islam ini disebar  luaskan dengan  mata pedang  dan kekerasan. Mereka turut menolak kesejagatan risalah Islam yang sesuai untuk semua budaya dan etnik.








2.2       Meragukan umat Islam terhadap Al-Quran, As-Sunnah dan  ulamak


Orientalis menakut-nakutkan dunia Barat tentang bahaya Al-Quran dengan mendedahkan bahaya Al-Quran melalui kajian yang dianggap ilmiah. Isi kandungan Al Quran dan ajaran-ajaran yang baik yang terkandung pelbagai hikmah dan kebaikan di selindung,  biarpun  kajian Orientalis menemui kepelbagaian ilmu dan  pengajaran yang baik untuk umatnya  seperti  nilai  ukhuwah Islam, keutuhan norma -norma akhlak dan sebagainya.  Selain itu golongan Orientalis turut berjaya mempengaruhi dan menyebarkan kefahaman bahawa umat Islam hanya boleh bergantung kepada Al-Quran kerana lebih terjamin keasliannya.  Seandainya  dakyah  Orientalis ini berjaya dilaksanakan dan dijadikan sebagai teras kehidupan oleh  sebahagian besar dan menolak semua hadis  yang diterima pakai oleh umat Islam pada zaman ini. Maka akan terhasil satu golongan intelek yang menjadikan kehidupan mereka hanya bersandarkan Al Quran semata-mata dan menolak hadis. Inilah yang sebenarnya menjadi  agenda mereka agar wujudlah satu golongan orientalis baru di kalangan umat Islam.
                  
                  
                   Memetik dari berita Harian ( 2001),  Menurut S Parvez Manzoor, dalam  bukunya Method Against Truth: Orientalisme and  Quranic  Studies, pengkajian orientalis Barat ke atas A l-Quran biar apa pun manfaatnya, lahir daripada kebencian yang dipupuk dalam kekecewaan dan diselubungi dengan kebencian. Masyarakat Barat percaya untuk menyelesaikan masalah ancaman Islam,  mereka  cuba untuk mewujudkan  perasaan syak wasangka tentang apa sahaja yang disampaikan oleh Nabi Muhammad  s.a.w.  Hanya Muslim yang keliru dengan  kemukjizatan  Al Quran akan mengabaikan misi dan visi untuk mengangkat martabat Al Quran itu sendiri di peringkat global.

“ Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) Yang menerangi (segala apa jua Yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan Yang kekal di akhirat kelak).”
                                                                                                            (Surah An Nisa’ 4 : 174)


 2.3      Menyerang umat Islam dengan “serangan pemikiran” atau “perang saraf

Kejayaan  yang  paling  besar  bagi orientalis ialah mengubah pandangan umat Islam dan  inilah  satu  kepuasan  dan  kejayaan  kerana kejayaan  untuk mempengaruhi pemikiran umat Islam merupakan satu cara yang paling berkesan untuk menguasai umat Islam itu sendiri.  Jangan  terkejut  jika golongan yang terpengaruh ini tidak terhad kepada mereka yang agak kebaratan atau  tipis semangat  keislaman nya  sahaja,  malah  mereka  juga datang daripada  kalangan  yang mendakwa pejuang Islam atau Islamik dan mempunyai asas keagamaan turut tidak terkecuali daripada terpengaruh dakyah orientalis.

            Pihak Orientalis telah merencana pelbagai fikrah dan perancangan untuk menyalurkan  pelbagai  idea  seperti  pemikiran liberal, pluralisme, materialisme, positivisme, dan lain-lain lagi. Pemikiran tersebut telah dijadikan teras kehidupan dan akhirnya pemikiran ini dianuti oleh umat Islam dan meluaskan lagi perpecahan di kalangan umat Islam.  Apabila pengaruh ini di jadikan satu kepercayaan dan amalan  secara  tidak langsung ia telah diiktiraf  sebagai  satu cara hidup yang telah disepakati sebagai amalan yang turut diterima oleh agama.  Mereka juga menimbulkan keraguan  terhadap Islam dan  kaum  Muslimin  agar  terpedaya  dan  beranggapan bahawa Al-Quran adalah  hasil  karya  nabi Muhammad,  hadis Nabi  tidak  boleh  dijamin  kebenarannya,  Islam tidak lebih daripada gerakan politik di dunia Arab sahaja, Islam anti kemajuan dan sebagainya.
            Memetik dari Mohd Fikri Che Hussain, ( 2010 ) , Sebahagian orientalis berusaha  untuk  mewujudkan  penyelewengan  terhadap kepelbagaian fakta ketamadunan umat Islam. Segala realiti ini wujud dan menjadi ciri keunikan ajaran Islam dan para penganutnya  sejak sekian  lama. Namun  ia dinafikan dengan segenap daya kemampuan yang dimiliki oleh mereka agar tidak tersebar di kalangan  bangsa  lain yang berada di luar lingkungan ajaran Islam.




2.4       Melahirkan keraguan terhadap sumber-sumber dan ketamadunan umat Islam


Pihak Orientalis  melakukan  perancangan  dan  kajian  untuk  memisahkan  kehidupan  umat  Islam  dalam  melakukan  sesuatu  sama  ada  aspek pembangunan ekonomi,  politik,  perundangan,  kenegaraan,  akhlak,  kemasyarakatan,  pengurusan  dan pentadbiran daripada di jadikan sebagai satu wadah kehidupan. Mereka (Orientalis) menjadikan ilmu sebagai alat untuk menggagalkan dakwah Islam dan bersembunyi di sebalik topeng-topeng pembahasan dan penelitian ilmiah. Sebenarnya mereka itu memasukkan benih-benih kebatilan terutama sekali ke dalam Syariah Islamiah, masalah-masalah Fiqah dan sebagainya.


Atas  dasar  ini,  muncullah  satu  keinginan  kuat  untuk  memisahkan agama dari ilmu  pengetahuan. Dan  ini  adalah  satu  realiti  yang  tidak dapat diterima oleh agama Islam.  Dalam  pada  itu  timbul  pula  di kalangan  umat Islam sendiri yang ingin memisahkan  antara  agama  dan  ilmu  pengetahuan  atas dasar kejayaan  yang berjaya dicapai  oleh  bangsa  Eropah  yang  mencapai  kemajuan  pesat  setelah  memisahkan diri dari  agama  dan  mencapai  ketamadunan yang tinggi  dalam  ilmu  pengetahuan dan peradaban. Sekiranya di campur adukkan agama dan pengetahuan, pihak tersebut beranggapan  akan menyebabkan umat Islam akan mengalami kemunduran dan ketinggalan zaman.  Hal  itu  mungkin  timbul dari ketidakmampuan   akal  mereka untuk memahami peranan   ilmu pengetahuan yang sebenarnya.  Ilmu pengetahuan adalah satu pokok asas dalam agama Islam .



“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.”

(Al- Mujadalah ayat 58: 11)



3.0       CARA MENANGANI TINDAKAN ORIENTALIS

3.1       Mengambil langkah menulis sejarah dan tamadun Islam

Satu-satunya  jalan  untuk  mengatasi  kebatilan  yang  digemburkan  oleh Barat adalah  tanggungjawab  ilmuwan  Muslim  untuk  segera menyediakan pusat-pusat pengkajian  yang  menyelidik  kebatilan  dan  kekeliruan  ilmiah kaum  orientalis.  Dengan kata lain,  untuk menghancurkan  kebatilan  pemikiran  harus  dengan  pemikiran  yang  lurus berdasarkan logik dan hujah akal.  Peranan  pihak  berkuasa juga penting dengan menubuhkan satu kumpulan penyelidik yang terdiri dari umat Islam sendiri dan menghasilkan  penulisan  yang  ilmiah  dan  dapat mengutarakan  kebenaran  lebih  terjamin keaslian sesuatu  sejarah  yang  berlaku.

Memetik dari Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti (1983),  Pihak berkuasa perlu merancang  satu  sistem  pendidikan  yang  memberi  ruang  yang sempurna bagi pertumbuhan  pengajian  ilmu  sirah  untuk  mendedahkan umat Islam  menghayati  ajaran Nya.  Sekalipun  di pusat  pengajian  menengah  dan  tinggi  terdapat  mata  pelajaran  sejarah Islam  yang  di dalamnya  terkandung  juga  kisah  perjalanan  hidup  Rasulullah  s.a.w namun  ia  hanya  berbentuk  pengolahan  cerita semata mata sedangkan  perkara  yang dituntut  kita  memahaminya  adalah pengajaran-pengajaran  dan  iktibar  yang  tersurat mahupun  yang  tersirat  demi  manfaat  umat Islam.  Selain  itu  penjelasan  tentang  agama
Islam melalui  pelbagai cara termasuk penulisan yang berdasarkan fakta dan bukan kata-kata yang berbentuk retorik semata-mata.


3.2       Mengukuhkan kefahaman tentang Islam

Di samping  itu,  pihak  yang  berkenan  perlu  menyanggah  tuduhan-tuduhan  kaum orientalis  terhadap  Islam dan umat Islam dengan mengungkap,  menganalisis dan memperbetulkan   tuduhan-tuduhan yang tidak benar baik di sengaja ataupun kerana kesalahan metodologi dan material.  Ia juga bertujuan menumbuhkan kesedaran terhadap kesalahan yang dilakukan oleh orientalis kerana kejahilan, salah faham atau kerana sempitnya wawasan  keislaman  yang  mereka  miliki.  Orang  Islam  juga  perlu  mengambil  manfaat hasil  karya  orientalis  khususnya  kajian  objektif  ilmiah  murni  yang  tidak  dicemari motif-motif  misi  keagamaan  dan  penjajahan.

Pemimpin Islam  yang berani  perlu  tampil  memberi  pendapat  yang  bertentangan dengan  pendapat  mereka  ataupun  beberapa  peristiwa  ganas  yang dilakukan oleh segelintir  pejuang  Islam  kerana  kezaliman  Barat sendiri.  Justeru itu,  orang  Islam  harus sentiasa  berwaspada  dan  mengambil  langkah  yang  positif  dan  strategik  untuk  mengatasi  hal  ini.  Antara  langkah  yang  harus  diambil  ialah  menjelaskan  semaksimum nya  tentang  agama  Islam  melalui  pelbagai  cara  termasuk penulisan  dan  media  massa yang  berdasarkan  fakta  dan  bukan  sekadar  kata-kata  retorik.  Orang  Islam  juga harus berusaha meningkatkan keilmuan terutama dari segi sains dan teknologi yang boleh menandingi kemampuan orang-orang Barat dan menampilkan cara hidup yang lebih progresif,  dinamik  serta  mampu  menangani  krisis  secara  bijak dan mampu menggerakkan  manusia  ke arah  kemajuan.  Oleh itu,  menjadi  kewajipan  orang  Islam  di Malaysia  untuk  berusaha mewujudkan satu masyarakat yang harmonis dengan meningkatkan  kemajuan  dirinya  melalui  prinsip Islam.  Islam  harus  dirasai  oleh  orang Islam  dan  orang  bukan  Muslim  dalam  segala  aspek  kehidupan  di negara  ini  kerana agama  Islam  rahmat  untuk  alam  sejagat.

3.3       Memberi kefahaman Islam yang sebenar

                      Menangani  masalah  kekaburan  tentang  Islam  memerlukan  strategi  dakwah dan  tarbiah  yang  berintegrasi  di kalangan umat  Islam agar mampu memberikan pengarahan  yang  benar  dan  memiliki  kefahaman  serta  nilai  yang  sebenar  sebagaimana yang  telah  dibangunkan  oleh Rasulullah s.a.w  dan golongan  sahabat  Nabi s.a.w.  Dengan kata lain,  diperlukan  suatu pola  dakwah  yang mampu  memberikan  sistem  kekebalan dalaman  umat  Islam  dalam  berhadapan  dengan  serangan  dan   racun  pemikiran  musuh-musuh  Islam.  Dalam  masa  yang  sama,   perlu  ada  keutuhan  tarbiah  di kalangan  umat Islam  yang  berjalan sepanjang  masa  agar  dapat  memberikan  wawasan   dan   kefahaman Islam  yang  sebenar.  Umat  Islam  perlu  mempunyai  institusi  kewartawanan  Islam  yang sempurna  dan  lengkap,  yang  dikelola tenaga-tenaga  yang  profesional  yang ikhlas  dan mampu  memberikan kefahaman sebenar tentang ajaran Islam. Untuk membangun umat Islam agar memiliki kesatuan hati, umat Islam perlu memiliki jiwa berdikari dalam pelbagai aspek kehidupan tanpa menerima sesutu perkara tanpa diketahui kesahihannya.

3.4       Menyatupadukan Umat Islam

                      Untuk menyatupadukan  umat Islam  agar memiliki kesatuan hati, umat Islam perlu memiliki jati diri dan nilai keimanan  yang tinggi .Kebergantungan kepada pihak luar, khususnya dengan musuh-musuh Islam  sama ada dalam bidang ekonomi, ketenteraan dan pentadbiran telah menyebabkan kepimpinan Islam akur dengan kehendak dan kemahuan mereka. Musuh-musuh Islam seringkali mengambil kesempatan terhadap istilah toleransi untuk menyuburkan gerakan anti Islam. Melalui perpaduan umat Islam pasti sebarang propaganda mampu di tangani bersama kerana penyatuan  umat itulah kunci kekuatan Islam. Kekuatan iman pasti akan memberikan kekuatan kepada umat Islam menghadapi pelbagai dakyah ataupun propaganda musuh-musuh Islam.

“ Wahai orang-orang Yang beriman! Tetapkan lah iman kamu kepada Allah dan Rasul Nya, dan kepada Kitab Al-Quran Yang telah diturunkan kepada Rasul Nya (Muhammad, s.a.w), dan  juga  kepada Kitab-kitab suci Yang telah diturunkan dahulu daripada itu. dan sesiapa Yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikat Nya, dan Kitab-kitab Nya, dan Rasul-rasul Nya dan juga hari akhirat, maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang amat jauh.”
 ( An Nisa’ 4 : 136)

3.5       Penguasaan ilmu dan teknologi

 Usaha  harus  dipertingkatkan  supaya orang Islam dapat menguasai segala bidang ilmu  termasuk  sains  dan  teknologi  yang  boleh  menandingi  kemampuan orang-orang Barat Orientalis  yakin  dan  berusaha  untuk  menerapkan  fahaman  mereka  dan  di jadikan sebagai  teras dalam menambahkan pengetahuan. Untuk itu,  usaha menerapkan  ilmu pengetahuan  yang  bersendikan  akidah dan syariat perlu diperkembangkan  sejak dari bangku sekolah rendah lagi agar akan lahirlah generasi yang mampan dan ampuh menghadapi apa juga anasir-anasir dari pihak yang berusaha menyelewengkan akidah dan  pegangan umat Islam. Di samping itu, Orang Islam perlu menjalankan penyelidikan hasil penguasaan teknologi agar mampu menangani segala krisis dengan bijak bagi membuktikan kebenaran Islam tanpa perlu bergantung pada  kajian yang dikhuatiri akan diselewengkan.

4.0       PERANAN KEIMANAN TERHADAP HARI AKHIRAT


4.1       Komited dan iltizam dalam melakukan amalan

           
            Menurut Abdul Hadi Awang ( 2008 ), kepercayaaan pada hari akhirat menjadi garis perbezaan antara manusia dan haiwan. Manusia yang percaya pada hari akhirat mempunyai akal fikiran yang luas dan dapat memahami perkara di sebalik apa yang dilihat dengan mata kasar.
           
            Kepercayaan  ini  akan menguatkan iltizam dalam melakukan amalan dan tidak mudah  di gugat  oleh  sebarang  anasir  yang  mengelirukan.  Kepercayaan  kepada hari akhirat  tentang  sesuatu  yang  ghaib  pasti  menjadi  satu  benteng  menangkis  serangan yang  boleh  mengelirukan.  Perkara  ghaib  yang  tidak  dilihat  mata kasar pasti akan menjadi  pengajaran  yang   penting  bagi  meneguhkan  keimanan  dan  juga  membawa sikap   berlapang  dada  dan  optimis  serta  menghilangkan  fikiran  yang  sempit  dan  lebih optimis  dengan  ajaran Islam. Selain itu,  ia  turut  memberi  kelebihan  kerana  orang  yang benar-benar  beriktikad  dengan  hari  Akhirat  pasti  dijanjikan  balasan  yang  sangat setimpal  kerana mempercayai sesuatu yang belum pasti bila akan  berlaku pasti akan memberikan sepenuh  komited  dan  iltizam  untuk  mempercayainya.

“ Sesungguhnya orang-orang Yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”

                                                                                                            (Al baqarah ayat 02:62)




4.2       Menguatkan keimanan dan ketakwaan
             
            Kehidupan  kita  di dunia ini tiada  nilainya  dan  akan  penuh  penyesalan  di akhirat nanti  sekiranya  kita  tidak  beriman  dengan  Allah dan hari kiamat lantas sentiasa melakukan  amal  kebajikan  sebagai  bekalan  untuk  perbicaraan  dan  timbangan  amal  yang  akan  dibuat  di padang  Mahsyar  kelak.  Semoga dengan mengingati kematian dan hari  kiamat,  akan  bertambahlah  iman  kita selain  berasa  gerun  terhadap  peristiwa  yang akan  berlaku  itu  lantas  berusaha  sedaya  upaya  melakukan  amal  soleh  untuk  kehidupan yang  bahagia di syurga  nanti  yang  kekal  selamanya.  Sebarang  dakyah  dan  tipu  helah yang  direncanakan pasti  akan  sirna  sekiranya  keutuhan  iman  umat  Islam  di sandarkan kepada  keimanan  yang  jitu  kepada apa sahaja syariat yang di amanahkan oleh Allah kepada  umat Islam.  Beriman  kepada  hari  Akhirat  juga memberi keteguhan  akidah dan mampu  menolak  apa sahaja  propaganda  yang  dilemparkan  ke atas kesucian  agama  Islam.


“ Dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi”
                                               
                                                                                                (Ali Imran ayat 03: 85)


4.3       Menggalakkan melakukan amal makruf (kebaikan) dan meninggalkan maksiat

“ Bahkan manusia itu hendak berbuat maksiat terus-menerus. Ia bertanya" Bilakah hari kiamat itu datang?"
( Al-Qiyamat: 75 : 5-6)
Seseorang  yang  sentiasa  mengingati  akan peristiwa yang  pasti  berlaku ini,  pasti juga  akan  mengingati  mati.  Hal  ini  kerana  kematian  adalah  langkah  awal  untuk menuju  ke hari  kiamat.  Insan   yang mengingati  mati pasti t idak berani  dan mahu melakukan  kemaksiatan  kepada  Allah  dan  bertekad  untuk  melakukan  kebaikan dalam segala aspek kehidupan. Orang yang beriman kepada hari akhir akan lebih bertanggungjawab di dalam bertindak. Ia akan lebih berhati-hati serta penuh perhitungan. Sebarang bentuk kebohongan tentang Islam mudah ditepis  kerana  keimanan  kepada  hari Akhirat  melahirkan  insan  yang  kuat  akidahnya  dan  teguh  imannya.
 “ Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amal nya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)”
(Al Mulk ayat  67: 2)

4.4       Menghindarkan diri dari melakukan pembohongan dan kezaliman

            Keimanan  kepada  hari  akhirat  akan menghasilkan umat Islam yang takut melakukan  perkara  yang  di tegah  kerana  percaya  pasti  akan  ada  pembalasan  yang  benar  bagi  mereka  yang  melakukan  kezaliman  terhadap Islam.  Melibatkan  diri dengan pembohongan  dan  kezaliman.  Meyakini  perkara  yang  bertentangan  dengan  syariat  Islam  yang  dibawa  oleh golongan  Orientalis  pasti  akan  mengundang  kemurkaan  Allah dan  akan  di timpa  azab  yang  pedih.  Apabila  adanya  tempat  yang  akan  dihisab  dan dihitung  amalan  pasti  menjadi  tembok  penghalang  dari  terjebak  dengan  pembohongan dan  kezaliman.
ÇÒÏÈ  
“ Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa Yang mereka telah usahakan”
                                                                                                           
                                                                                                                        Al-A’raaf : 96:07





 5.0      KESIMPULAN

Serangan  Orientalis  dalam  pemikiran Islam  adalah suatu  ancaman  yang sangat berbahaya.  Bahkan bahayanya  sukar  untuk  dikesan.  seumpama  barah  yang  hanya  dapat dikesan   setelah  rosak nya  banyak.  Namun  begitu,  mempelajari  orientalis juga merupakan  keperluan  kepada  orang  Islam  bagi  tujuan  mengkaji dan menelaah sikap orang  bukan  Islam  tentang Islam,  Al-Quran,  kenabian dan umat Islam.  Perkara ini merupakan  kewajipan  bagi  orang  Islam  untuk  mengetahui  penilaian   pihak  lain  terhadap  ajaran  Islam  dan sewajarnya  keimanan  dan  keteguhan  akidah   kita  kepada Rukun  Islam  dan  Rukun  Iman  pasti  akan meneguhkan  akidah umat  Islam  itu  sendiri. Tidak  semua yang di bawa oleh Orientalis buruk, bahkan kajian mereka banyak membongkar khazanah ilmu Islam yang berharga.  Malah hasil kajian Orientalis banyak merungkaikan tentang kehebatan Islam sehingga mampu menarik minat mereka untuk memeluk Islam. Begitulah kehebatan Islam sekiranya di kaji dengan akal yang waras pasti akan ditemui kebenaran Islam itu sendiri.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SAAD ABI WAQAS

hubungan syariah dengan konsep tauhid