HUBUNGAN DI ANTARA KERJA YANG DI BAYAR DAN RUMAHTANGGA


1.0       PENDAHULUAN
Penglibatan wanita dalam dunia pekerjaan telah memberi  impak  yang sangat besar pada pembangunan ekonomi negara dan memberi sumbangan yang besar dalam memacu ekonomi negara. Menurut perangkaan  rasmi (Rancangan Malaysia Ketujuh) kaum wanita mewakili 36% daripada tenaga kerja Malaysia. Sehingga kini, terdapat ramai wanita yang terlibat di dalam berbagai jenis pekerjaan produktif yang tidak formal dan pekerjaan yang reproduktif. Penglibatan wanita dalam kerjaya bukan merupakan satu faktor ataupun alasan yang memungkinkan seseorang wanita itu mengabaikan tanggungjawab hakiki wanita dalam rumah tangga. Bahkan dunia kerjaya memberikan satu sumbangan yang sangat besar untuk ekonomi sesebuah keluarga. Oleh sebab wanita yang berkerjaya mempunyai dua peranan yang berasingan ia sangat-sangat  menuntut komitmen dan kekuatan fizikal dan emosi serta kesabaran dalam memikul tanggungjawab tersebut.  Lantaran itu sumbangan wanita tidak wajar di per kecilkan dalam  membantu  kaum  lelaki untuk meringankan bebanan kewangan keluarga secara tidak langsung.
Di dalam ajaran Islam, wanita yang bekerja dan berkerjaya bukanlah sesuatu yang asing, atau dalam erti kata yang lain Islam tidak melarang wanita untuk bekerja dan berkerjaya. menurut Zulkiple Abd. Ghani, ( 2005 ) mengulas tulisan  Zainab al-Ghazali yang menulis tentang wanita bekerja dan cabarannya membawa beberapa contoh tentang penglibatan wanita dalam pekerjaan seperti isteri Rasulullah s.a.w. sendiri, Saidatina Khadijah yang terkenal sebagai seorang peniaga yang berjaya dan juga berperanan sebagai  isteri dan ibu yang sempurna buat suami dan anak-anak. Pembabitan wanita dalam dunia pekerjaan hasil daripada peningkatan pendidikan wanita yang meningkat dan memiliki tahap profesionalisme yang tinggi. Penguasaan wanita dalam pendidikan telah mengurangkan kadar pengangguran dan membuka lembaran  baru dalam kecemerlangan ekonomi negara. Wanita sudah di ketahui mampu untuk menyumbangkan dalam semua aspek pekerjaan di Malaysia.  Justeru  pembabitan wanita dalam dunia kerjaya mampu menyumbang sesuatu untuk kepentingan bersama wajar diiktiraf dan melayakkan mereka untuk dijadikan sumber manusia yang sempurna. Sikap rajin bekerja dan tekun serta memberikan  perhatian yang sepenuhnya ketika bekerja menjadikan golongan ini sasaran utama dan berperanan besar dalam memastikan sumber manusia negara ini berupaya memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi negara kita.


2.0        KONSEP PEMBAHAGIAN KERJA

2.1       Memetik dalam Answer.com mendefinisikan konsep pengagihan buruh ialah pengkhususan dalam proses pengeluaran.

Manakala menurut W.J.G Cremers, pembahagian  kerja yang boleh di peroleh dari Van Wesel(1980),
Pembahagian kerja ialah satu proses dalam pembangunan ekonomi masyarakat yang disebabkan oleh campur tangan  manusia. Dalam proses ini, satu tugas ekonomi dipindahkan dari satu  individu ke satu individu yang lain.

Menurut Henri Fayol (1916)  menyatakan,
  pembahagian kerja ialah pengkhususan  membenarkan individu membina pengalaman dan memperbaiki secara berterusan kemahiran-kemahirannya. Dengan itu, dia boleh jadi boleh jadi lebih produktif.

Dengan wujudnya pembahagian kerja akan memudahkan sesuatu pekerjaan itu dilaksanakan mengikut kepakaran masing-masing dan dalam pada itu ianya dapat meningkatkan mutu pekerjaan seseorang individu itu. Bahkan pembahagian kerja juga merupakan  satu  langkah  pengurusan yang sistematik dalam pengurusan organisasi kerana masing-masing akan melaksanakan tugas masing-masing mengikut keupayaan masing-masing tanpa dipengaruhi aspek lain dalam melahirkan modal insan yang mampu mencorakkan hala tuju kecemerlangan diri.

Pembahagian kerja amat penting kerana keupayaan individu dan individu yang lain berbeza-beza. Begitu juga halnya perbezaan gender pasti mewujudkan satu dimensi perbezaan keupayaan di antara wanita dan lelaki. Justeru itu wanita yang juga seorang ibu amat-amat memerlukan pembahagian kerja agar kerja yang di sandangnya  akan memberi kebaikan buat semua yang terlibat sama ada suami, anak-anak mahupun diri wanita itu sendiri.


                                   

3.0        HUBUNGAN DI ANTARA KERJAYA DAN KELUARGA

3.1       Mengukuhkan ekonomi keluarga
Pengorbanan seorang wanita untuk memikul tanggungjawab menambahkan sumber pendapatan untuk keluarga merupakan satu langkah yang sangat besar pengorbanannya. Wanita yang bekerja bukan sahaja meringankan bebanan suami bahkan mewujudkan satu peluang untuk mengubah nasib keluarga untuk kehidupan yang lebih selesa. Kualiti hidup keluarga juga dapat di tingkatkan dan mewujudkan persaingan gender dalam dunia pekerjaan. 
Peluang dan ruang yang diberikan oleh suami untuk membantu meningkat ekonomi keluarga haruslah digunakan oleh seseorang wanita itu dengan sebaiknya. Hargailah peluang terbabit dengan mencipta sebanyak mungkin kejayaan dan mendapatkan pulangan yang baik serta mampu mengubah nasib keluarga. Jurang ekonomi keluarga boleh ditingkatkan dan memberikan  keselesaan dan  kemudahan dan meringankan bebanan ekonomi keluarga
Keadaan ekonomi dan keperluan hidup yang semakin meningkat dan di tambahkan lagi keperluan untuk menikmati kesenangan merupakan faktor wanita terdorong untuk keluar bekerja. Selain itu, faktor anak-anak yang semakin meningkat dewasa dan memerlukan perbelanjaan yang banyak menjadi satu lagi alasan menyebabkan wanita yang dahulunya sekadar pengurus rumah tangga keluar untuk bekerja.

Wanita yang bergelar isteri dan ibu telah melakukan pengorbanan yang sangat besar dengan melibatkan diri dalam dunia pekerjaan dan seharusnya para suami amat-amat berterima kasih kerana kewajipan untuk mengukuhkan ekonomi  selayaknya dipikul amanah tersebut oleh suami sepenuhnya.  Suami bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan dan kemudahan untuk keluarganya. Namun semua kita sedar arus globalisasi memerlukan wanita keluar dari kepompong tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga dan turut bersama-sama suami mencari rezeki untuk meringankan bebanan suami.  Selalu kita melihat dan umum mengetahui wanita yang bekerja selalunya di atas sebab nak meringankan bebanan keluarga kerana tuntutan hidup terutamanya di bandar-bandar besar memerlukan perbelanjaan yang banyak. Namun tidak di nafikan wanita di kampung-kampung turut terkena tempiasnya kerana majoriti wanitanya turut membanting tenaga dan melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi. Ibu –ibu di kampung kebanyakannya pasti terlibat dalam aktiviti ekonomi seperti bertani dan buruh-buruh di sektor pertanian ataupun perladangan.

3.2       Meningkatkan keyakinan dan menguatkan jati diri

Setelah seseorang wanita itu bekerja ia akan memberikan peluang untuk dirinya mengembangkan bakat dan meningkatkan keyakinan serta menguatkan jati diri hasil daripada pergaulan di tempat kerja. Di samping itu, wanita yang bekerja juga mampu mengekspresikan diri dan mencipta dan mengembangkan potensi diri dalam menghasilkan sesuatu.  Memenuhi tuntutan  kerja merupakan satu  proses untuk menghasilkan kepuasan diri san meningkatkan rasa bangga dan menghargai apa sahaja peluang yang ada dalam dunia pekerjaan. Wanita yang bekerja juga akan lebih terbuka mindanya dan mampu menguruskan kerja dan juga rumah tangga seiring sekiranya mampu menguruskan kerja dan keluarga dengan mengagihkan dengan bijaksana.  
Penglibatan dalam dunia kerjaya dan di dedahkan dengan aspek pengurusan  memberikan satu  ilmu yang sangat  berguna buat seorang wanita. Wanita yang bekerja lebih stabil emosinya kerana hal ini akan mengurangi konflik dalam rumah tangga berbanding wanita yang tidak bekerja. Wanita yang bekerja terbukti lebih cerdas dibandingkan wanita yang tidak bekerja.  Wanita yang bekerja lebih mudah menerima maklumat dan berfikiran terbuka pemikirannya. Wanita yang bekerja juga boleh mengurangkan perasaan cemburu dan prasangka kepada suami kerana wanita yang bekerja lebih terbuka minda kerana pergaulan di tempat kerja memberi peluang wanita berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar idea dan berkongsi masalah bersama-sama.

Hasil pemerhatian yang selalu kita lihat wanita yang bekerja lebih tinggi ketahanan mentalnya dan lebih bersemangat menghadapi arus globalisasi kerana sering terdedah dan juga turut melibatkan  diri dalam urusan-urusan yang pelbagai yang memerlukan wanita terbabit bertindak dengan wajar dan profesionalisme. Kita sedia maklum juga dunia pekerjaan sering mengalami cabaran dan perubahan. Hal ini secara tidak langsung mendewasakan diri wanita itu sendiri. Selain itu, wanita yang bekerja turut mempunyai keyakinan yang tinggi untuk melibatkan diri dalam masyarakat kerana wanita yang berkerjaya ini lebih bijak bergaul dan berkomunikasi kerana dunia pekerjaan menuntut wanita perlu ke hadapan dan berkeyakinan dalam menghadapi sesuatu situasi.



           
3.3       Memiliki pendidikan yang tinggi dan memberi sumbangan dalam masyarakat

Tidak dapat dinafikan wanita masa kini kebanyakannya memiliki tahap pendidikan dan profesionalisme yang tinggi serta berkelayakan untuk menyandang satu-satu jawatan. Apabila wanita memiliki pendidikan yang tinggi sudah pasti mereka berkeinginan untuk mengimplementasikan pengetahuan dan kemahiran yang ada pada mereka dalam dunia pekerjaan agar apa yang dipelajari mampu diadaptasikan dalam dunia pendidikan. Selain ingin mengaplikasikan ilmu yang ada kebanyakan wanita yang sudah bergelar isteri  turut terkesan untuk memiliki pendapatan sendiri sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga.  Apabila wanita bekerja selain dari faktor menambahkan pendapatan keluarga , ia juga bersandarkan kepada kepuasan dapat mengaplikasikan ilmu yang ada selain mampu memberi sumbangan dalam  masyarakat. Wanita juga percaya melibatkan diri dalam dunia pekerjaan memberikan satu pengalaman kerana cabaran dunia kerja  satu cara yang menghasilkan kepuasan  buat seorang wanita setelah bertungkus-lumus untuk meningkatkan  pendidikan .Wanita yang bekerja  berjaya mencerna dan melakukan kecemerlangan serta mempunyai ruang lingkup yang lebih luas dan mempunyai hubungan yang pelbagai peringkat .

Selain itu, wanita yang bekerja juga cenderung memiliki pola pemikiran yang lebih terbuka, lebih bertenaga, serta mempunyai wawasan yang luas dan lebih dinamik. Oleh hal yang demikian itu, wanita yang berstatus isteri berupaya menjadi pasangan  bagi suami dan juga berperanan untuk menjadi teman bertukar-tukar fikiran, saling berkongsi cita-cita dan harapan, pandangan dan tanggungjawab. Pendedahan wanita dengan dunia kerjaya secara tidak langsung mematangkan wanita itu sendiri.  Wanita sebagai pengurus rumahtangga memainkan peranan utama dalam mengukuh dan mengembang potensi ahli-ahli keluarga di samping dirinya sendiri. Dengan itu, wanita secara langsung terlibat dalam memutuskan perkara-perkara berkaitan dengan pengurusan rumahtangga, pendidikan anak-anak dan masa depan keluarga.  Ketiga-tiga aspek peranan tersebut  melibatkan terlalu banyak tekanan ke atas kehidupan wanita. Apabila wanita bekerja, peranan mereka semakin berkembang dan meluas dan memberikan peluang wanita untuk mengikis tanggapan bahawa peranan wanita bukan sekadar pengurus rumah tangga bahkan mampu menjadi penggerak ekonomi negara.


4.0                   CABARAN WANITA BERKERJAYA

                        Cabaran  utama yang perlu ditangani oleh wanita berkerjaya ialah dari segi kekangan masa,  gangguan emosi dan konflik dwi tugasan. Untuk bergelar seorang warga pekerja wanita pasti akan menghadapi cabaran dan kesulitan untuk merealisasikan impiannya. Persiapan mental dan fizikal perlu dipersiapkan dalam menghadapi arus globalisasi dunia pekerjaan. Menyusuri  dunia pekerjaan yang tidak dijangka implikasi dan cabaran yang tidak boleh di congak natijahnya memerlukan seseorang itu merancang dan membuat langkah-langkah untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu sama ada ilmu agama bahkan ilmu psikologi. Antara cabaran yang menanti seseorang yang masih ingin bergelut dengan rencah dunia pekerjaan ialah :

4.1       Kekangan masa bersama keluarga

                                                 Apabila seseorang wanita itu terlibat dengan kerjaya semestinya masa yang harus diperuntukkan untuk keluarga harus dibahagi dua, bahkan kadangkala masa yang sepatutnya bersama dengan keluarga perlu diisi dengan menyiapkan kerja pejabat yang tertangguh. Bebanan kerja yang terpaksa dipikul dan apabila berada di rumah terpaksa menghadapi masalah yang ada di rumah serta kurangnya kerjasama suami meringankan bebanan urusan rumah tangga menjadikan wanita yang berkerjaya mudah menghadapi tekanan emosi. Bagi wanita yang bekerja dan tidak mempunyai pembantu rumah pasti menambahkan lagi bebanan kerja di rumah, seperti urusan mengemas, memasak serta menyediakan keperluan suami dan anak-anak. Sekiranya wanita yang bekerja ini mempunyai anak yang masih kecil pasti menuntut sepenuh perhatian dari ibu yang pastinya sudah keletihan akibat melakukan kerja di pejabat. Hal ini akan mewujudkan jurang antara ibu dan anak dan boleh merenggangkan hubungan anak dan ibu.
                         Selain itu, wanita juga terpaksa mematuhi berbagai arahan pejabat sama ada dari segi kedatangan mengikut waktu atau mematuhi arahan di dalam pejabat atau di luar pejabat. Situasi seumpama ini kadangkala mempengaruhi emosi dan tekanan perasaan yang kadang-kala terbawa-bawa dalam kehidupan rumahtangga dan keluarga. Ada masanya suami atau anak-anak jatuh sakit, sedangkan isteri atau ibu terpaksa bekerja. Dalam situasi begini, wanita akan menjalan tugasnya dengan perasaan yang berbelah bagi dan gelisah. Keadaan ini akan mengganggu konsentrasinya terhadap pekerjaan. Masalah akan menjadi lebih sulit  apabila di rumah tidak ada pembantu yang sesuai atau tidak ada tempat asuhan kanak-kanak yang selayaknya untuk menjaga anak-anak mereka. Ini membuatkan sesetengah urusan yang wajib di lakukannya di serahkan bulat-bulat untuk di lakukan oleh pembantu rumah.  Hal ini akan menyebabkan  anak-anak dan suami pula merasakan diri mereka terabai lantaran sikap wanita itu sendiri yang terlalu mengejar kerjaya.
Menurut  Naib Yang Dipertua II, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita), Prof. Datin Dr.Rohaty Mohd. Majzub berkata, antara tekanan yang dihadapi oleh wanita ini ialah mendapatkan kualiti masa untuk keluarga, kerja dan diri sendiri. Malah katanya, ada ahli sosiologi yang mengaitkan penglibatan wanita dalam kerjaya sebagai faktor dominan tergugat nya rumah tangga, lemahnya sistem keluarga dan meningkatnya masalah sosial.
Memetik penulisan dalam rencana terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM ), Sebagai wanita mereka perlu memainkan peranan sebaik mungkin, baik di tempat kerja mahupun di rumah. Mereka sedar, mereka perlu menjadi ibu yang sabar dan bijaksana bagi anak-anak serta menjadi isteri yang baik bagi suami serta menjadi suri rumah tangga yang bertanggungjawab terhadap keperluan dan urusan rumah tangga. Di tempat kerja, mereka juga mempunyai komitmen dan tanggungjawab terhadap pekerjaan yang telah diamanahkan kepada mereka sehingga mereka perlu menunjukkan prestasi kerja yang baik.

4.2       Gangguan emosi  dan tekanan emosi

                                    Pekerjaan boleh  menjadi sumber ketegangan dan tekanan bagi para ibu yang bekerja. Mulai daripada peraturan kerja yang ‘kaku’, bos yang tidak bijaksana, beban kerja yang berat, ketidakadilan yang dirasakan di tempat kerja, rakan-rakan yang sukar bekerjasama, waktu kerja yang sangat panjang, ataupun ketidakselesaan psikologi yang dialami akibat daripada masalah ‘sosial-politik’ di tempat kerja. Keadaan ini biasanya menjadi semakin tegang apabila suasana di rumah tidak dapat menyokong dan suami (terutamanya) dan anak-anak (yang sudah besar) kurang memberikan kerjasama untuk menjadi ‘pengganti’ membantu si ibu, atau sekadar meringankan kerja-kerja di rumah. Apabila wanita yang bekerja di bebani tugas yang sepatutnya di kongsi bersama ahli keluarga pasti akan timbul perasaan sensitif dan emosional akibat keletihan setelah seharian berada di tempat kerja.

                        Wanita yang bekerja tidak terlepas daripada diskriminasi di tempat kerja dan suasana  sosial politik pejabat yang kadangkala mengganggu tumpuan pada pekerjaan di tambah kadangkala wujud peraturan yang membebankan. Wanita yang bekerja perlu bijak menyesuaikan dirinya dan kadangkala waktu kerja yang sangat panjang, ataupun ketidakselesaan psikologi yang dialami akibat daripada masalah ‘sosial-politik’ di tempat kerja. Selain itu, wujud juga di pejabat rakan-rakan yang sukar memberikan bekerjasama.

            Wanita juga adakalanya terpaksa menghadapi gangguan seksual dari teman-teman pekerja lelaki ataupun pelanggan-pelanggan lelaki sewaktu bekerja. Masalah sosial juga timbul akibat dari perkara-perkara seperti ini yang kebanyakan mangsanya adalah wanita. Syarat-syarat serta suasana kerja juga ada yang kurang prihatin mengenai keperluan wanita khasnya apabila mereka hamil atau mereka terpaksa menjaga anak-anak yang baru lahir atau yang masih kecil. Keadaan di rumah juga sentiasa merunsingkan hati dan  minda mereka yang jarang diambil kira. Wanita yang bekerja akan kerapkali berkorban untuk mengambil cuti untuk menjaga anak yang sakit dan hal ini di ambil kesempatan oleh rakan sekerja lelaki dengan membuat kesimpulan prestasi wanita yang sebegini pasti sukar.

4.3       Konflik dwi tugasan

Wanita yang bekerja bukan sahaja bertanggungjawab terhadap kerja bahkan turut bertanggungjawab memastikan kerja-kerja rumah di laksanakan dengan sempurna berbanding lelaki. Biarpun bekerja wanita tetap perlu memainkan peranan untuk melunaskan tanggungjawab di rumah. Tanggungjawab wanita terhadap keluarga masih lagi merupakan keutamaan, sedangkan bagi kaum lelaki tanggungjawab terhadap kerjaya mengatasi tanggungjawab yang lain. Mereka yang terlibat dengan pekerjaan profesional perlu mencurahkan sebahagian masa besar masa dan tenaga yang diluangkan untuk keluarga dan rumah tangga terpaksa dikurangkan. Bagi kaum wanita, mengabaikan suami dan keluarga merupakan satu kesalahan. Berbanding dengan kaum lelaki, masa yang digunakan bagi aktiviti luar rumah boleh dilakukan tanpa perlu memikirkan tanggungjawab di rumah. Suami akan merasa bebas meninggalkan rumah dan keluarga, sekiranya mengetahui ada orang yang akan menguruskan anak dan rumah. Adalah jelas bahawa seorang suami yang memberi masa yang banyak kepada kerjayanya tidak dianggap salah, tetapi tidak bagi kaum wanita.

Walaupun dengan adanya pembantu  rumah yang dapat meringankan kerja rumah yang perlu dilakukan oleh wanita, namun para isteri tetap perlu mentadbir dan tanggungjawab ini menjadi semakin besar dengan bertambahnya bilangan anak. Konflik Dwi kerjaya juga memungkinkan berlakunya konflik yang boleh menggugat keharmonian rumah tangga  lantaran kurang kecekapan dan kebijaksanaan dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga. Apabila berlaku pengabaian terutamanya di pihak isteri menyebabkan suami menjadikannya alasan untuk curang dan mempunyai hubungan luar. Anak-anak pula menjejakkan diri dengan gejala yang tidak sihat apabila kurangnya pemerhatian dan pemantauan yang sewajarnya.

5.0       KESIMPULAN       

Petikan kata-kata Allahyarham Tun Abdul Razak semasa upacara pembukaan rasmi Muktamar Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Islam yang pertama pada 7 Mac 1975 berkata;
“….kalaulah kaum wanita tidak bersama-sama mengambil bahagian dalam usaha-usaha pembangunan, maka bermakna lah kita mengabaikan  satu sumber tenaga yang penting. Kalau kita perhatikan negara-negara yang telah maju, kita tentu dapat melihat bagaimana kaum wanitanya menjadi tenaga besar bagi membawa negara-negara tersebut ke mercu kejayaan”
           
Menyusuri peranan wanita dalam bidang kerjaya di Malaysia serta peranan mereka sebagai pengurus rumah tangga dan penggerak ekonomi negara menyedarkan kita bahawa tangan  yang  menggayun  buaian pasti mampu juga menggegar dunia.  Tanpa kehalusan budi bahasa dan kasih-sayang seorang wanita sama ada sebagai ibu atau isteri, mana mungkin kebahagiaan sesebuah keluarga itu dapat diraih. Kejayaan sesebuah rumahtangga memerlukan  sumbangan besar malahan pengorbanan yang suci dan tulus daripada golongan wanita serta dilengkapi oleh peranan suami. Usaha ini memerlukan wanita menyiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam aspek kesihatan, pemakanan, pendidikan anak, ilmu ekonomi rumah tangga, pendidikan pengguna dan pengurusan masa dan sebagainya. Peranan atau tugas wanita terhadap negara ini begitu luas dan amat diperlukan. Sebagai seorang wanita yang  berkerjaya sewajarnya kita semua hendaklah memandang tinggi dan memberi peluang kepada diri sendiri dan wanita yang di luar sana yang berkorban untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja dan dalam waktu yang sama turut cemerlang menguruskan rumah tangga nya. Slogan “pemuda harapan negara pemudi tiang negara” harus menjadi peringatan kepada kita betapa besarnya sumbangan wanita terhadap kemajuan negara itu.
RUJUKAN / REFERENSI


·         Henri Fayol , prinsip-prinsip pentadbiran, rietrieve 04 julai 2011 ,www.citehr.com › ... › Organizational Development
·         W.J.G Cremers, The Social and personel Setting of Labour, Retrieved Julai 04, 2011 from akademianauk.org/boeken/SET9.HTM
·         Wikipedia, the free encyclopedia (2011). Division of Labour,  Retrieved Julai  03, 2011 from en.wikipedia.org/wiki/Division_of_labour 
·         www.investorwords.com/5519/division_of_labor.html
·         Yayasan Dakwah Islamiah  Malaysia ( 2011 ), Dilema Wanita (Ibu) Bekerja Retrieved 04, 2011, from www.yadim.com.my/wanita/WanitaFull.asp?Id=144
·         Zulkiple Abd. Ghani, (2005 ), Kerjaya Wanita Islam dalam Bidang Penyiaran: Cabaran dan Prospek , International Seminar On Muslim Women: The future and Challenges in shapping the Ummah anjuran Centre For Islamic Studies and Social Development, Universiti Teknologi Malaysia



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENDEKATAN GOLONGAN ORIENTALIS

SAAD ABI WAQAS

hubungan syariah dengan konsep tauhid